06 June 2013

Kolam Siakap, Banting - (01.05.2013)

Setelah bosan melayan ikan air tawar, pada 1 Mei 2013 cuti hari pekerja yang lalu budak-budak P2U Angler telah sepakat mengambil keputusan untuk mencuba nasib menerjah Kolam Siakap Banting. Asalnya kolam tersebut telah diperkenalkan oleh seorang rakan kerja dari Duta Marine yang selalu memancing disana. Kolam tersebut terletak di daerah Jugra malah bersebelahan dengan "Jugra Sport Fishing". Kira-kira 1 jam perjalanan dari Subang Jaya untuk sampai ke lokasi. Bayaran dikenakan untuk 1 joran adalah sebanyak Rm3.00 bagi seharian memancing, murah bukan?, namun andai anda berjaya menaikkan Siakap-siakap di situ, "Tol" dikenakan mengikut timbangan berat setiap ekor ikan yang berjaya ditangkap sebelum anda keluar dari kolam.

(Pemandangan Kolam Dari Pintu Masuk)
Pada sesi ujian padang kali ini hanya Saya (Admin) dan Ringgo yang telah ke lokasi yang dikatakan "Lubuk Siakap" yang mana rata-rata pemancing dan penduduk disitu mengatakan yang kalau tidak tahu memancing pun pasti akan dapat ikan kerana Siakap-siakapnya sangat "Frenzy". Tanpa membuang masa saya dan Ringgo pun bersiap sedia dengan senjata perang yang akan diperturunkan untuk menduga penghuni dasaran disitu. Umpan yang kami gunakan adalah Udang yang ada dijual di kaunter. Harga umpan Udang tersebut tidak mahal Rm5.00 bersamaan 9 ekor Udang.


Saya mempertaruhkan Joran Abu Garcia Tournament 7'kaki berkekuatan 10-30lb dan kekili Banax Xtream 3000 manakala tali tangsi berkekuatan 40lb. Ringgo pula mempertaruhkan Joran Penn Marco 6'kaki berkekuatan 10-20lb dan kekili Shimano Accort. Setelah selesai mempersiapkan kelengkapan semua kini tiba masa untuk mencari spot-spot di sekitar kolam yang dirasakan hidupan dasar berkumpul. Disebabkan hari sudah lewat petang oleh itu sinaran terik matahari telah berkurangan namun bahang tepi laut tetap dirasakan.

(Pancang Diperlukan Untuk "Teknik Bottom")
Apabila umpan Udang tadi sudah dilabuhkan kedasar kolam, seperti biasa kami akan berborak-borak dan berkenalan dengan rakan-rakan pemancing yang ada disitu. Pada hari tersebut kami berkenalan dengan seorang pemancing dikatakan "Otai" dikawasan itu namanya Abang Awie. Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan tips untuk menjerat siakap dikolam tersebut malah perambut dan mata kail saya pun dipasang olehnya. Menurut kata beliau di kolam ini memang Siakap sangat "Frenzy" dan mudah untuk dijerat. Antara teknik yang boleh digunakan disini adalah "Pancingan Dasar" dan "Casting".

(Abang Awie Sedang "Casting")
Sedang kami berbual-bual hampir 3 kali joran saya bergetar namun apabila disentap tiada Siakap yang terjerat, saya hampir bengang kerana merasakan ikan disini bijak juga. Kata Abang Awie saya duduk terlalu jauh dari joran dan ini membuatkan ikan tersebut sempat meloloskan diri. Tiba-tiba joran Ringgo mendapat satu sentapan yang agak kuat, setelah diangkat ternyata seekor Siakap telah terjerat. Ringgo mengarau kekili Shimano beliau dengan pelahan dan akhirnya ikan berjaya didaratkan, Siakap bersaiz "Juvenil" dalam anggaran 600g.

(Lesen Siakap 1st Ringgo)
Wah ini menambahkan lagi semangat saya untuk mengarau dengan lebih tekun untuk mendapatkan "Lesen Siakap" Banting. Mana boleh tahan melihat rakan berseronok dengan hasil tangkapannya. Hari semakin lewat petang namun hanya getaran pada joran Abu Garcia Tournament yang berlaku, umpan Udang semakin berkurangan ekoran berlaku penukaran umpan pada mata kail terlalu kerap. Almaklumlah Siakap Banting ini mudah rasa bosan terhadap umpan yang lama dipasang, mereka lebih gemar menikmati umpan yang segar dan baru dipasang. Saya meneruskan usaha mengail Siakap dengan penuh kesabaran kerana saya tidak mahu pulang dengan tangan kosong.

(Akhirnya Berjaya Mendapat Lesen!)
Tiba-tiba satu getaran kuat dirasakan pada hujung joran Abu Garcia Tournament saya dan apa lagi tanpa berlengah-lengah saya terus menyentap joran dan melayan asakan Siakap yang menggelupur di dalam kolam cuba untuk memutuskan tali 40 lb saya, harapanlah!. Perlahan-lahan kekili dikarau sehingga akhirnya saya berjaya mendaratkan Siakap seberat 800g, alhamdulilah dan ini merupakan lesen Siakap yang pertama saya. Syukur kerana ada juga rezeki yang Allah SWT ingin berikan kepada saya pada sesi memancing kali ini. Sedang saya hendak mengeluarkan mata kail dari mulut hasil tangkapan saya tiba-tiba satu sambaran diterima oleh Ringgo, Ringgo berjaya mendaratkan 2 ekor Siakap pada kali ini dan saya pula seekor Siakap.  


Disebabkan hari sudah lewat malam dan jam tangan menunjukan pukul 8.30pm kami berdua sepakat untuk pulang dari kolam pancing tersebut. Ketika melalui "Tol" dipintu masuk saya dikenakan bayaran sebanyak Rm3.70 dan Ringgo sebanyak Rm14.00 sahaja. Menurut kata Ringgo, dia ingin menggoreng seekor Siakap beliau di Restoren Nenek saya yang terletak di Bukit Naga, Shah Alam untuk dibuat makan malam bersama, satu cadangan yang agak bernas dan menarik. Jadi masing-masing dapat membawa pulang seorang seekor Siakap dan merasai hasil tangkapan untuk dibuat sajian pada malam itu.

(Hasil Tangkapan Kami yang dimasak "Siakap 3 Rasa")
Setibanya kami di Restoren Bukit Naga Tomyam Seafood, Shah Alam, ikan terus diserahkan kepada tukang masak didalam dapur untuk disiang dan dimasak. Kami berdua menjamu selera dengan hasil tangkapan kami pada malam itu dengan penuh rasa seronok. Penat lelah seharian memancing telah terbayar dengan lauk "Siakap 3 Rasa" yang enak. Disebabkan restoren tersebut milik nenek saya oleh itu cas yang dikenakan hanya Rm 23.00 untuk Nasi 2 pinggan, Upah masak Siakap 3 Rasa, Kangkung Goreng Belacan, Telur Dadar dua orang makan, Air teh O' suam dan Air Fresh Orange.

Hasrat untuk memancing lagi di kolam pancing Banting tidak terhenti sampai setakat hari ini sahaja kerana kami akan turun lagi untuk menawan Siakap-siakap Banting di lain hari. Buat pembaca Pancing2u diharap sabar menanti aktiviti budak-budak P2U Angler di sesi "Casting Siakap Banting" episod akan datang.

2 comments:

  1. terbaikkk... ikan kira berapa sekilo dan boleh share lokasi ???

    ReplyDelete
  2. Salam Bro,

    Kolam ini memang terbaik, sesuai untuk pemancing yang baru nak belajar casting menggunakan Baitcaster, Gewang, Jig dan lain-lain umpan tiruan. Semuanya dibenarkan.

    Yuran masuk pula sebanyak Rm3.00, ikan akan ditimbang mengikut jumlah tangkapan Rm15.00 untuk 1 Kilo.

    Lokasi pula terletak di Kg. AIr Tawar, Banting bersebelahan dengan Jugra Sport Fishing. Kalau bro dari Teluk Panglima Garang terus sampai jumpa bukatan kecil, terus sampai traffic light dan belok kiri, terus sampai naik jambatan merentasi sungai, kemudian terus sampai jumpa Masjid Al-Islah. Sampai situ dah dekatlah tu tanya jer orang kampung kolam Rm3.

    Trylah...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...