(Sang Pacat Sedang Stim Menghisap Darah) |
Tidak dinafikan, pacat antara 'makhluk' paling tidak digemari apabila melakukan aktiviti Jungle Trekking dan memancing dikawasan pendalaman seperti paya, sungai, lombong, dll. Keupayaan menyelinap untuk menghisap darah ke segenap tubuh badan terutama bahagian kaki amat tidak disenangi.
Penggunaan stokin 'kalis pacat' kadangkala kurang berkesan. Manakala penggunaan racun serangga yang popular seperti Baygon pula amat tidak digalakkan, terutama pada mereka yang ada alahan kulit kerana terdapat bahan' perawis aktif' yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada si pengguna.
Umum mengetahui tembakau adalah salah satu sumber semulajadi yang boleh menghindari pacat, tetapi bagaimana cara untuk mengaplikasikannya yang ingin saya kongsikan. Caranya, sejumlah kecil tembakau perlu direndam dalam air (sebaiknya air panas) untuk mendapatkan airnya (pati tembakau). Tuangkan air tembakau ini ke dalam bekas semburan kecil yang boleh didapati daripada kedai farmasi supaya mudah untuk dibawa.
Perlu diingatkan semasa proses menuang ini, anda perlu menapis air tembakau tersebut kerana terdapat partikel-partikel halus yang larut di dalamnya boleh menyebabkan saluran alat semburan anda tersumbat yang akan mengganggu proses semburan nanti. Seterusnya anda hanya perlu semburkan air tembakau ini pada stokin atau mana-mana bahagian yang dirasakan perlu sebelum melakukan aktiviti anda.
Petua saya untuk lebih mujarab lakukan semburan ini di rumah iaitu beberapa hari sebelum trip berlangsung. Semburkan pada stokin anda beberapa kali di mana setiap semburan perlu diselang-seli selepas semburan yang pertama kering, sebelum semburan kedua. Semakin banyak lapisan semburan, semakin tinggi potensi untuk menghindari pacat.
Selamat Mencuba!
(Bekas Semburan Kecil - Boleh Didapati Di Farmasi) |
(Daun Tembakau Kering) |
No comments:
Post a Comment