"Tuah ayam nampak dikaki, Tuah Orang Siapa Yang Tahu"
Pepatah diatas sesuai dirungkaikan kepada salah seorang ahli P2U Angler yang lebih dikenali sebagai Torres. Setelah 5 kali mengalami nasib "Kumpau" yang agak lama, beliau telah menjalankan sesi pancingan secara solo di Kolam Sealion No. 2, Port Klang pada hari Isnin yang lepas. Niat asalnya yang hanya untuk merehatkan minda dan bersantai di kolam pancing telah bertukar menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila menerima sapaan dari 3 ekor penghuni kolam disitu.
(Kolam No. 2 Sealion, Port Klang) |
Tiba di kolam pada pukul 2:30pm dan mengambil pakej 3 jam sehingga pukul 5:30pm, bayaran yang dikenakan seperti biasalah Rm100.00 untuk deposit dan 1 jam bersamaan Rm18.00 minimum 3 jam. Berbekalkan senjata Abu Garcia Vengeance sepanjang 6 kaki dan kekili Abu Omega 4000 dipadankan dengan tali sulam Berkley berkekuatan 30lb maka beliau telah bersedia untuk berjuang.
(Menunggu Mangsa Yang Kelaparan) |
Umpan yang digunakan untuk labuhan pertama adalah seekor Udang hidup dan di 'Casting' secara unjunan dan tarik secara perlahan. Lebih kurang 45 minit pertama seekor Jenahak bersaiz "Juvenil" telah berjaya dinaikkan. Kemudian beliau bertukar ke tempat lain iaitu di sebelah kiri kolam berdekatan kincir air.
(JENAHAK 1st Berjaya Dinaikkan) |
Ramai juga pemancing-pemancing lain yang turun ke kolam tersebut pada hari itu walaupun ianya hari bekerja. Menurut kata beliau, terdapat seorang pemancing berjaya mendaratkan seekor ikan Kerapu Harimau anggaran 7 kilo. Apakah ini tanda Taukeh ada melepaskan banyak ikan pagi itu?.
(3 Ekor Jenahak Berjaya Ditewaskan) |
Tiba-tiba rod Abu Vengeance beliau melentur sehingga membentuk huruf 'U' menandakan ada mangsa yang telah terjerat. Bertarung dalam 5 minit dan pengawalan yang baik telah membuahkan hasil dimana Jenahak saiz besar telah berjaya dinaikkan anggaran 2.5kg. Sesi pancingan diteruskan sehingga jam terakhir beliau bertukar port ke bahagian hadapan kolam tersebut dan menerima satu lagi sambaran dari seekor Jenahak hanya selepas menukar umpan kepada Ikan Belanak hidup.
(Torres Dan Trofinya) |
Akhirnya masa 3 jam yang diperuntukkan untuk memancing telah tamat dan agak menggembirakan hati kerana berjaya membawa pulang 3 ekor Jenahak pada sesi tersebut. Berbaloi rasanya apabila dapat membawa trofi dan pengalaman memancing secara solo lalu membuahkan kejayaan buat dirinya. Sekian sahaja dari kami ahli P2U Angler buat para pembaca Pancing2u, nantikan perkembangan terbaru kami di sesi pancingan akan datang. Sekian Terima kasih.
No comments:
Post a Comment